KUALA LUMPUR, 29 Jun 2026 – Lembaga Tabung Haji (TH) melalui inisiatif kewangan sosial Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam), Sadaqa House, melancarkan Program Pembangunan Belia Asnaf untuk Pemerkasaan Individu secara Inklusif dan Mampan (DAYA INSANI) bagi memperkasa belia asnaf dan anak yatim melalui latihan kemahiran khusus dan penempatan pekerjaan berkualiti di rakan strategik industri yang dikenal pasti.
Bersempena pelancaran inisiatif kolektif Bakat MADANI yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Utama Anwar Bin Ibrahim di Sendayan, Negeri Sembilan, TH menyalurkan dana perintis sebanyak RM1 juta kepada Sadaqa House bagi melaksanakan program ini yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 100 belia asnaf dan anak yatim sebagai permulaan.
Dana tersebut akan digerakkan oleh Sadaqa House dengan kerjasama rakan strategik industri dan institusi pendidikan, antaranya:
- Kulim Hi-Tech Park Skills Centre (KHTP) – melahirkan tenaga kerja teknikal berkemahiran tinggi.
- Kolej Universiti Bestari (UCB) dan Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) – melatih jururawat profesional.
- Pusat Perakaunan Profesional Malaysia (MyPAC) – membangunkan akauntan bertauliah.
- Showme Education – melahirkan pakar terapi profesional.









